News

Holstein Milk Company featured on Berita Harian

The Holstein Milk Sdn Bhd (Holstein) kini tidak hanya berfungsi sebagai penghasil tenusu terbesar negara, sebaliknya turut melakukan pemindahan teknologi khususnya permanian beradas bagi menghasilkan baka bermutu.

Bermula dengan hanya 100 ekor lembu tenusu pada 2009, Holstein terus berkembang dengan memiliki lebih 5,000 ekor lembu tenusu baka Australian Friesan Shahiwal (AFS).

Menerusi anak syarikat, Farm Fresh, syarikat tempatan itu mempunyai tiga ladang iaitu Lembah Tenusu Muadzam di Pahang; Mawai, Kota Tinggi dan Lembah Tenusu Desaru, Bio Desaru di Johor.

Ketua Pengarah Operasinya, Azmi Zainal, berkata antara keistimewaan ladang Holstein itu adalah penggunaan teknologi mensenyawakan baka lembu jenis AFS di Melbourne, Australia sebelum menghantarnya ke negara ini.

Katanya, operasi ladang ternakan bernilai antara RM55 juta hingga RM60 juta itu menjadi asas kepada syarikat untuk mensenyawakan baka lembu sebelum diimport, sekali gus mempercepatkan pembangunan genetik tanpa bergantung kepada ternakan lembu di negara ini.

Program itu bertujuan menyediakan hubungan langsung antara sains dan amalan supaya sektor ternakan negara menjadi lebih inovatif dan seterusnya mendapat manfaat daripada amalan pertanian baharu.

“Di samping menghasilkan susu yang bermutu, baka jenis AFS terbukti mampu hidup di Malaysia dan boleh dieksport ke negara beriklim tropika dan seterusnya mengembangkan sektor pertanian ke negara berkenaan,” katanya kepada BH.

Ketika ini, Farm Fresh mampu mengeluarkan kira-kira tujuh juta liter susu segar setahun dan menguasai lebih daripada 39 peratus pasaran susu segar di Malaysia.

Walaupun kebanyakan produk tenusu di negara ini diimport sebagai susu bancuhan dengan menggabungkan susu segar, susu tepung, pepejal dan pengawet dalam produk mereka, Holstein kekal sebagai syarikat yang memasarkan susu segar terus dari ladang.

Excerpt from ‘Holstein pindah teknologi penternakan canggih’ by Samadi Ahmad, Berita Harian